Monday, June 30, 2008

AURAT WANITA DIHADAPAN WANITA KAFIR

Para ulama berbeza pendapat tentang aurat wanita muslimah di hadapan wanita kafir. Ada di kalangan ulama yang membezakan antara wanita muslimah dan wanita kafir. Maka mereka mewajibkan hijab di hadapan wanita kafir, namun pendapat ini tidak kuat. Lajnah Daimah ketika ditanya apakah wajib wanita muslimah memakai hijab di hadapan wanita kafir menjawab:

"Dalam masaalah ini ada dua pendapat para ulama, yang lebih benar ialah tidak wajib (wanita muslimah berhijab dihadapan wanita kafir). Ini kerana perbuatan tersebut (memakai hijab di depan wanita kafir) tidak didiriwayatkan dari isteri-isteri Nabi saw, tidak juga dari selain mereka dari kalangan wanita di zaman nabi saw ketika mereka hidup bersama wanita-wanita Yahudi di Madinah, dan wanita-wanita penyembah berhala. Jika berlaku di zaman Nabi saw, wanita muslimah memakai hijab di hadapan wanita kafir, sudah pasti akan dinaqalkan kepada kita sepertimana yang telah dinaqalkan perkara yang lebih kecil dari yang itu."

Telah ditanya kepada al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin:

"Adakah boleh seorang muslimah membuka rambutnya di hadapan wanita kafir?”

Kata al-Uthaimin:

Perkara ini ada perbezaan pendapat antara ulama dalam menafsirkan firman Allah swt al-Nuur: 31.

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الإرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (٣١)

Ganti nama yang terdapat pada kalimah (نِسَائِهِنَّ - wanita-wanita mereka) para ulama berbeza pendapat tentangnya. Sebahagian mereka berkata maksudnya ialah jenis, yakni sejis wanita semuanya. Sebahagian yang lain mengatakan maksud ganti nama itu ialah ditujukan kepada sifat, yakni wanita yang beriman sahaja. Maka jika berdasarkan pendapat yang pertama, harus bagi wanita membuka rambutnya dan wajahnya di hadapan wanita kafir. Jika berdasarkan pendapat yang kedua tidak boleh. Dan kami (Ibn al-Uthaimin) cenderung kepada pendapat yang pertama dan ianya lebih hampir (kepada kebenaran). Ini kerana wanita bersama wanita tidak ada beza antara wanita muslimah dan kafir. Ini jika tidak ada fitnah..."

Maka berdasarkan pendapat ini, aurat wanita muslimah di hadapan wanita kafir adalah sama seperti aurat sesama wanita muslimah yang lain, iaitulah antara tengkuk hingga bahagian bawah betisnya, lengan kanan dan lengan kiririnya.

wallahu a'lam...

No comments: