Thursday, May 22, 2008

HARI GURU

Tarikh 16 Mei menjelang lagi. Tarikh yang sentiasa diingati oleh seluruh warga yang terlibat dengan bidang pendidikan khususnya sekolah. baik Sekolah Rendah, Menengah, Agama dan segala bentuk IPT. Biar apa sekalipun Gred dan jawatan yang disandang samada Guru Tetap, Guru Sandaran, malah Guru Kelas al-quran dan Fardhu Ain (KAFA) sekalipun, tetap meraikannya. Pendek kata, bila seseorang itu memberi ilmu walau hanya satu huruf sekalipun, ia adalah GURU.


Oleh itu, daripada semua pihak baik pelajar, guru, pengetua, guru besar malahan ibu bapa pelajar sendiri, tarikh tersebut begitu bermakna bagi kita untuk mengenang jasa yang dicurahkan oleh warga pendidik yang dipanggil GURU. Ya! Hari Guru adalah hari untuk kita mengingati jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh insan yang bergelar guru.

Merenung sejenak peranan guru pada masa sekarang...

Sememangnya tugas yang dipikul oleh guru sekarang adalah terlalu mencabar. Cabaran yang perlu ditanggung dengan kekuatan mental dan fizikal demi melaksanakan tugas dan tangungjawab yang diamanahkan. Guru sekarang bukan sekadar hanya masuk ke kelas dan mengajar semata-mata tetapi banyak lagi dugaan dan tugas lain perlu dibereskan. Sekolah ibarat sebuah 'negara' yang melaksanakan pelbagai aktiviti yang semuanya terpaksa dipikul pada bahu guru. Dan aktiviti-aktiviti sebegini menyebabkan guru bukan sekadar menjadi guru semata-mata. Seorang guru pernah berkata, guru perlu menjadi kerani menyiapkan hal-hal kedatangan murid dan hal-hal berkaitan dengan pembayaran yuran. Guru perlu menjadi polis untuk mengajar anak-anak murid berkawad dalam aktiviti ko-kurikulum. Guru perlu menjadi pengaturcara komputer untuk membuat bahan bantuan mengajar menggunakan komputer. Pendek kata, menjadi guru ialah menjadi semua pekerja dan membuat segala pekerjaan, dan itulah sebenarnya situasi yang dialami oleh guru pada hari ini.

Tidak kurang juga dengan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA). Peranan yang dimainkan tetap sama. Walaupun pandangan masyarakat berbeza tetapi, peranan tetap sama. Mendidik anak bangsa terutama dalam bidang Agama. Tetap berhasrat melahirkan insan berkualiti yang tidak lari dari landasan Agama. Menyampaikan amanah Allah dalam memelihara akhlak dan akidah anak bangsa. berlandaskan Motto "BERKHIDMAT KERANA ALLAH UNTUK AGAMA, BANGSA DAN NEGARA" tetap menjadi pegangan.


SELAMAT HARI GURU


No comments: